KUALA LUMPUR - Empat lelaki menyamun sebuah premis perniagaan dan melarikan wang tunai, telefon bimbit dan barang kemas pekerja premis berkenaan dalam kejadian di Metro Perdana, Kepong di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, keempat-empat suspek yang menaiki sebuah kereta menyamun premis terbabit dengan bersenjatakan sebilah parang dan satu objek menyerupai pistol. "Bagaimanapun, tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu. Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam sistem pesanan ringkas kepada Bernama.
Difahamkan, salah seorang suspek adalah warga asing dan semasa kejadian terdapat 11 pekerja dalam premis tersebut. — BERNAMA