AMPANG JAYA - Sebanyak 350 keluarga di Jalan Teratai 1/2D, Taman Bukit Teratai di sini melahirkan kebimbangan dengan tahap keselamatan di kawasan itu ekoran kejadian jenayah yang semakin berleluasa sejak enam bulan lalu.
Penduduk kawasan itu mendakwa banyak kes rompakan, ragut dan vandalisme berlaku di kawasan perumahan itu menyebabkan mereka kini hidup dalam ketakutan.
Salah seorang penduduk, Chan Wei Leong, 38, berkata, cermin belakang keretanya dipecah sebanyak dua kali sejak beberapa bulan lalu menyebabkan dia terpaksa menanggung kerugian.
"Selepas menggantikan cermin kereta tersebut, saya terkejut apabila mendapati ia dipecahkan sekali lagi beberapa hari kemudian," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Wong Kooi Moi, 45, berkata, dia bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarga ekoran peningkatan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan perumahan tersebut.
"Baru-baru ini, suami saya dirompak dan motosikalnya dilarikan dalam kejadian pada pukul 12 tengah malam," ujarnya.
Seorang lagi mangsa jenayah, Annie Wong, 32, berkata, pencuri juga melarikan minyak dan bateri motosikal miliknya baru-baru ini.
"Saya hairan kerana barangan yang tidak seberapa harganya turut dicuri.
"Kejadian jenayah semakin menjadi-jadi dan kami berharap pihak berkuasa mengambil serius masalah tersebut dan mengatasinya secepat mungkin," katanya.