KANGAR - Penghuni Pangsapuri Sena di sini, mengeluh apabila masalah kecurian, vandalisme dan gejala sosial yang berlaku di kediaman mereka, dilihat semakin serius.
Suri rumah, Mumtaj Begum, 31, berkata, anak lelakinya, Saravanan Maniam, 18, kehilangan motosikal Kawasaki yang baru dibeli setahun lalu, tiga hari lepas.
Menurutnya, walaupun ada pondok pengawal di pintu utama, namun masalah kehilangan barang dan vandalisme masih berlaku dan semakin membimbangkan.
“Kali terakhir saya melihat motosikal itu ketika saya mengeluarkan motosikal kami yang kedua untuk menghantar anak ke sekolah kira-kira jam 7.15 pagi,” katanya.
Mumtaj berkata, suaminya ada bertanya kepada pengawal keselamatan yang menjaga satu-satunya pintu utama berkenaan sama ada melihat individu tidak dikenali membawa motosikal anaknya melalui kawasan itu, namun jawapan diterima sangat mengecewakan.
“Mereka kata tidak tahu apa-apa dan tugas mereka hanya menjaga bangunan bukan menjaga kawasan dan keselamatan penghuni pangsapuri,” katanya.
Menurutnya, selain kecurian, cermin dan tempat duduk motosikalnya dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.
Paling mengecewakan, katanya, ada orang luar dipercayai menjadikan pangsapuri itu sebagai tempat untuk membuat maksiat berikutan tiada kawalan ketat.
“Kebiasaannya mereka datang kira-kira jam 3 hingga 4 pagi. Mereka bebas masuk sesuka hati tanpa sebarang kawalan daripada pengawal yang bertugas ketika itu.
“Penduduk di sini bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga. Malah kami turut terkilan apabila pihak pengurusan pangsapuri ini memaklumkan mereka hanya menguruskan masalah mengenai pengurusan bangunan. Kami tidak tahu kepada siapa lagi untuk mengadu,” katanya.
Mumtaj berharap polis dapat memantau di kawasan pangsapuri itu dan meminta pihak berkaitan menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) segera bagi menangani masalah dihadapi penghuni pangsapuri berkenaan.
“Saya tidak mahu penduduk lain mengalami nasib sama seperti saya. Sampai bila kami terpaksa menanggung kerugian dan membiarkan keluarga kami diancam. Kebanyakan penghuni pangsapuri ini berpendapatan rendah dan jika dibiarkan ia akan membebankan kami,” katanya.