BEDONG – Niat seorang lelaki membantu mangsa ragut bertukar tragedi apabila dia maut selepas dua hari dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani kerana kecederaan parah di kepala akibat hentakan kuat.
Mangsa, Mohd Majdi Abd Hamid, 33, sempat menarik beg tangan yang berada dalam genggaman suspek dan berlaku pergelutan sebelum terjatuh.
Akibat hentakan kuat, Mohd Majdi mengalami kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri manakala seorang suspek berjaya ditahan oleh orang awam yang menyaksikan kejadian sementara seorang lagi rakannya melarikan diri.
Mengimbau kejadian itu, dua peragut berpura-pura sedang minum di sebuah kedai dekat pekan Bedong sebelum meragut beg mangsa yang juga pengunjung di kedai makan terbabit kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.
Dalam kejadian itu, suspek yang dikatakan seorang anggota tentera bersama seorang lagi rakan sedang minum sambil memerhatikan mangsa.
Selepas menghabiskan minuman, kedua-dua suspek terus menghidupkan enjin motosikal sebelum sempat mencapai beg tangan milik seorang wanita.
Difahamkan, ketika cubaan untuk melarikan diri, jalan raya ditutup bagi memberi laluan kepada kereta api melintas.
Kedua-dua suspek kemudian berpatah balik sebelum sempat dihalang pengunjung kedai makan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Ong Aik Chang berkata, kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Arwah suka menolong orang
“Sepanjang tujuh tahun berkahwin, dia tidak pernah ungkapkan perkataan itu, namun malam sebelum kejadian dia ada memberitahu bahawa saya adalah isterinya dunia dan akhirat,” kata isteri Mohd Majdi.
Nor Baizura Rohim, 30, berkata, allahyarham suaminya seorang yang mudah simpati kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan dan suka menolong orang tanpa mengira bangsa dan agama.
Penolong Pegawai Anti Dadah, di C&C Rehab Center Kampung Selamat, Seberang Perai Utara itu berkata, dia tidak menyangka kata-kata itu merupakan petanda ajal suaminya yang juga bertugas sebagai Penolong
Pegawai Anti Dadah di Klinik C&C 1Malaysia, Karangan.
“Kalau boleh, saya tidak mahu memikirkan bagaimana ia berlaku. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan sesiapa atas kejadian ini dan menerimanya sebagai takdir ALLAH SWT,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga yang tinggal di Bandar Utama, Sungai Petani berkunjung ke rumah ibu Nor Baizura dekat Kampung Baru, Bedong.
Jatuh ketika tarik beg
Sebelum kejadian, katanya, arwah keluar dengan anak kedua, Nur Asma Nuha, 5, tanpa memberitahu ingin minum di sebuah kedai makan dekat Pekan Bedong kira-kira jam 12.30 tengah hari Ahad lalu.
“Bagaimanapun, ada orang kampung yang nampak kejadian datang memberitahu motosikal milik adik yang dinaiki arwah terlibat dalam kemalangan.
“Apabila saya sampai di tempat kejadian, arwah sudah tidak sedarkan diri dan saya difahamkan akibat terjatuh ketika ingin menarik beg ragut dari penjenayah dalam keadaan motosikal suspek sedang bergerak,” katanya.
Allahyarham Mohd Majdi yang koma sejak kejadian tersebut kerana kecederaan parah di bahagian kepala dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Baru, Bedong selepas solat Asar.
Hasil perkongsian hidup bersama Nor Baizura selama tujuh tahun, Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu Mohd Atip Naufal, 6, Nur Asma Nuha, 5, dan Nahiz Nahfiz, 2.