Selasa, 11 September 2012

Orang awam berkas lelaki samun wanita di Chow Kit

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Jeritan seorang wanita menyelamatkannya daripada kerugian apabila disamun seorang lelaki di dalam lif sebuah bangunan di Jalan Haji Hussein di sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata jeritan pekerja salon berumur 33 tahun itu didengari orang awam yang kemudiannya mengejar suspek yang cuba melarikan diri selepas menyamun mangsa.

"Semasa bergelut dengan orang awam, suspek yang berumur 39 tahun itu terjatuh dan cedera di paha kanan. Suspek kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan," katanya dalam khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.

Zainuddin berkata suspek didapati mempunyai enam rekod kesalahan lampau iaitu kes dadah, samun dan curi.

Beliau berkata semua barangan milik mangsa, termasuk telefon bimbit, dua bentuk cincin emas serta seutas rantai leher dan loket yang bernilai RM2,800 dijumpai semula.- Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...