Ahad, 23 September 2012

Remaja maut ditetak 4 lelaki

Gambar hiasan
ALOR GAJAH 22 Sept. - Seorang remaja yang bertugas sebagai pengawal keselamatan maut selepas diserang empat lelaki bersenjatakan parang yang disyaki akibat dendam di Jalan Perindustrian, Kelemak di sini awal pagi ini.

Mangsa, M. Kuganthiran (gambar), 19, mati sejurus dimasukkan ke Hospital Alor Gajah selepas mengalami kecederaan parah akibat ditetak di tengkuk, tangan kiri dan ditikam di perut.

Dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, mangsa yang menaiki motosikal dari rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kelemak dipercayai dihimpit sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki sehingga dia terjatuh.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan, Umar Ali Shaifuddin berkata, sejurus itu, empat lelaki bersenjatakan parang keluar dan menyerang mangsa.

Bagaimanapun menurutnya, mangsa hanya sempat melarikan diri sejauh 100 meter sebelum empat lelaki terbabit menetaknya.

“Polis yang menerima aduan daripada orang ramai bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa dalam keadaan cedera parah.

“Dia dikejarkan ke Hospital Alor Gajah tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi ini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dijalankan sama ada mangsa ada kaitan dengan kes seorang lelaki maut dan tiga lagi cedera ditetak di Tampin, Rabu lalu.

Difahamkan, Kuganthiran adalah rakan kepada suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian di Tampin.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...