PENDANG - Seorang wanita bersama anaknya mengalami kecederaan teruk dan wang niaga berjumlah RM500 lesap diragut seorang lelaki bermotosikal dekat Jalan Bukit Perak lewat petang, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam, mangsa, Salmiah Yaacob, 41, bersama anak bongsunya, Abdul Akir Zamani, 12, dalam perjalanan pulang menunggang motosikal dari pusat internet (Cyber Cafe) milik mereka dekat Kampung Sawa Kecil.
Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan wang tunai dan dokumen bank serta kad pengenalan diri, namun turut menanggung kesakitan apabila bahagian punggung dan kakinya cedera teruk, manakala anaknya hanya cedera ringan di lutut.
“Saya tidak boleh duduk dan hanya mampu baring secara mengiring kerana cedera teruk di bahagian punggung setelah motosikal yang ditunggang saya terbabas selepas saya terajang peragut itu.
“Saya keluar dari kedai kira-kira jam 7.30 dan singgah kurang 10 minit di pasar malam Kampung Baru, tetapi tidak turun dari motosikal kerana ingin cepat pulang ke rumah dekat Kampung Rancangan Tanah Pinggir (RTP) Padang Besar Jeneri Sik,” Katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, lelaki itu cuba meragut beg tangan yang diletakan di bawah beg pakaian di dalam raga motosikal, namun tidak berjaya apabila dia bertindak menerajang peragut itu.
“Motosikal saya terbabas bersama anak menyebabkan peragut itu memberhentikan motosikal lalu mendekati saya dan mengambil beg tangan, namun saya enggan menyerahkannya menyebabkan dia (peragut) mengugut mahu menikam saya dengan pisau.
“Saya segera melepaskan beg tangan kerana takut kami dibunuh, walaupun anak cuba melarikan diri selepas peragut itu ugut ingin membunuh,” katanya.
Katanya, wang yang diragut itu adalah wang niaga yang dikumpul untuk membayar pinjaman Amanah Iktiar Malaysia (AIM) yang perlu dijelaskan setiap minggu.
Dalam pada itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dan berharap polis menyiasat segera kes itu.
Difahamkan, tempat kejadian memang sering berlaku kejadian ragut kerana keadaannya gelap dan sunyi.