KUALA LUMPUR - Seramai 776 individu mengalami kerugian berjumlah RM15 juta apabila menjadi mangsa penipuan sindiket peminjam wang yang tidak wujud sejak tahun lepas hingga sekarang.
Ketua Penolong Pengarah Siasatan I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Lim Char Boo berkata mangsa terdiri dari kalangan yang ingin memulakan perniagaan, peniaga kecil-kecilan serta individu yang mahu mendapat pinjaman wang tunai segera tanpa kerenah birokrasi bank.
"Mangsa yang ingin membuat pinjaman akan menghubungi nombor yang tertera pada iklan itu dan mereka kemudiannya akan diarah oleh sindiket untuk memasukkan wang ke akaun tertentu pada kadar RM1,000 hingga RM5,000 sebagai wang proses,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Char Boo berkata bagi mengaburi mangsa, anggota sindiket berkenaan juga biasanya akan menyamar sebagai pegawai dari institusi kewangan yang kononnya boleh membantu menguruskan pinjaman dengan cepat sebelum bertindak menghilangkan diri setelah wang pemerosesan pinjaman diperolehi. - BERNAMA