BANTING - Seorang warga emas terkejut apabila mendapati beg tangan yang diletakkan di hadapannya ketika solat Dhuha lesap di surau Hospital Banting di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika mangsa sedang menunaikan solat sunat Dhuha sementara menunggu waktu melawat cucunya di hospital berkenaan.
Hajar Misiah Abdul Jabar, 73, dari Batu 10 Kebun Baru berkata, hanya dia seorang berada dalam surau berkenaan dan mungkin ada individu masuk ke surau ketika dia sujud.
"Masih ada rupanya yang sanggup mencuri di tempat beribadah," katanya.
Menurutnya, dia tidak menyangka beg yang diletakkan di hadapan ketika menunaikan solat dicuri.
"Saya tidak bawa banyak wang dan hanya ada wang tunai RM20 dalam beg itu.
"Tetapi apa yang saya kesalkan dokumen penting seperti kad pengenalan diri dan kad pesara arwah suami dalam beg sama turut dilarikan,” katanya.
Difahamkan, suspek dipercayai berusia dalam lingkungan 30-an dan sempat melarikan diri walaupun terdapat pengawal keselamatan bertugas ketika itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan, mengesahkan kejadian yang berlaku.
Menurutnya, mangsa membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, kira-kira jam 11 pagi dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana ragut.
“Mereka yang ada maklumat berhubung kes ini diharapkan segera melaporkan kepada polis untuk membantu siasatan," katanya.
Beliau menasihatkan orang awam meningkatkan keselamatan di mana sahaja.
"Adalah menjadi tanggungjawab sendiri memastikan barangan dijaga dengan baik terutamanya di tempat awam," katanya.