Isnin, 8 Oktober 2012

Lapan Lelaki Rompak Cip Mikro Bernilai RM11.5 Juta


BUKIT MERTAJAM: Lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan sejumlah cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM11.5 juta dalam satu rompakan di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah, di sini, awal pagi Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata, lelakiitu dipercayai berusia antara 20 hingga 40 tahun memecah masuk gudang kilang berkenaan melalui pagar belakang kira-kira pukul 2.30 pagi.
"Ketika kejadian enam pengawal termasuk penyelia kilang berada di tempat kejadian.
"Kumpulan perompak terbabit bertindak mengikat pekerja di situ sebelum membawa masuk sebuah lori ke tempat pemunggahan barang dan melarikan sejumlah cip mikro yang terdapat dalam tiga palet itu," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, kumpulan perompak itu turut merampas semua telefon bimbit milik pekerja gudang berkenaan bagi mengelak mereka menghubungi pihak polis.
Mazlan berkata, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu dan menemui beberapa barang antaranya topeng muka, sarung tangan dan cota dalam gudang milik Intel itu.
"Polis juga berjaya mengesan lori yang digunakan perompak berkenaan iaitu kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian. Bagaimanapun tiada sebarang barangan ditemui dan kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit," katanya.
Beliau berkata, polis menahan tujuh lelaki berusia antara 27 hingga 47 tahun yang bertugas sewaktu kejadian rompakan itu bagi membantu siasatan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...