PANDAN PERDANA - Dua mangsa mendakwa menerima panggilan mencurigakan daripada seorang pegawai polis yang mendakwa kad kredit dan buku bank milik mereka disimpan dua individu di Hong Kong.
Mangsa pertama, Wong Mei Yi, 45, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai Wong dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
Menurutnya, pegawai itu bertanyakan kepadanya sama ada mengenali dua individu kini ditahan di Hong Kong bernama Yam Choon Hong dan Lam Hong Heng yang memiliki kad kredit dan buka akaun banknya.
"Apabila bertanya dimana dia memperoleh identiti saya, pegawai polis itu memberitahu memperolehnya dari bank Maybank dan Citibank sedangkan saya tidak mempunyai akaun dari bank tersebut," katanya pada sidang media bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Teratai, baru-baru ini.
Hadir sama pada sidang media adalah Ketua Biro Aduan Awam Dun Teratai, Ben Liew.
Mei Yi berkata, pegawai itu seterusnya menyuruh dia menghubungi pegawai polis di Hong Kong di talian nombor 0085672246527 tetapi dia memberi alasan tidak mempunyai kredit untuk menelefon ke luar negara.
"Selepas itu, dia memberitahu polis Hong Kong akan menghubungi saya untuk mengambil keterangan tetapi saya memberi alasan bateri telefon sudah hendak habis.
“Selepas mencas bateri telefon bimbit, saya dapati terdapat 13 panggilan dari nombor 20319999 dan pada keesokan harinya pula, sekali lagi saya mendapat panggilan nombor sama tetapi tidak menjawabnya kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Tong Tick Chong, 58, berkata, dia menerima panggilan dan taktik yang sama dengan mendakwa kad kredit dan buku akaun banknya dimiliki dua individu yang tidak dikenali dan ditahan di Hong Kong.
“Dalam kes ini, panggilan tersebut juga dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan pegawai polis tersebut meminta memberi kerjasama kepada polis atau saya akan ditahan,” katanya.
Sementara itu, Ben Liew berkata, terdapat cubaan untuk menipu mangsa yang berkemungkinan adalah aktiviti penggubahan wang haram.
Katanya, dia menghubungi nombor yang diterima oleh kedua-dua mangsa dari Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan nombor tersebut adalah betul tetapi tiada nama pegawai yang didakwa mangsa.
“Bagaimanapun, berdasarkan kes ini saya menasihatkan orang ramai agar tidak panik sekiranya menerima panggilan seperti ini dan segera membuat laporan kepada polis.
“Pada masa sama, memandangkan kes ini semakin kerap dilaporkan, Biro Aduan Awam akan menghantar memorandum kepada Kementerian Kewangan setelah mendapati banyak maklumat peribadi mudah diperoleh oleh orang lain,” katanya.