Temerloh – Jika semalam, Sinar Harian menyiarkan penduduk Kampung Kurnia, Kuantan berhimpun di bangunan Kedai Batu Tiga, Jalan Gambang bagi membantah operasi pusat perjudian di kawasan itu kini penduduk Taman Mentakab Indah, Mentakab di sini mengambil langkah serupa.
Lebih 50 penduduk Taman Mentakab Indah di sini kelmarin mengadakan demontrasi mendesak pemilik pusat judi internet yang beroperasi di taman perumahan mereka sejak dua bulan lalu supaya menutup perniagaan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Mentakab Indah, Wan Mohd Saidi Wan Zainudin berkata, desakan itu dibuat selepas berlaku beberapa kejadian jenayah di kawasan perumahan itu sejak pusat judi internet tersebut beroperasi di kawasan itu.
Menurutnya, jenayah seperti curi kabel telekom, pecah masuk kedai telah menyebabkan penduduk penduduk mengalami kerugian dan dibimbangi akan terus melarat jika pusat judi itu meneruskan operasinya.
Desak tutup segera
“Kewujudan pusat judi itu tidak bersesuaian di kawasan ini kerana 85 peratus penduduk di Taman Mentakab Indah ini beragama Islam.
"Justeru kami mendesak supaya dua premis yang dibuka di kawasan perumahan kami ini ditutup dengan segera atau dipindahkan ke kawasan lain," katanya.
Menurut Wan Mohd Saidi, disebabkan pusat judi itu juga enam penduduk di sini masih ditahan polis bagi membantu siasatan kerana mengganggu operasi perniagaan pusat judi terbabit.
Katanya, kerajaan perlu menggubal undang-undang berkaitan perjudian sedia ada supaya rakyat terutama pemilik premis tidak boleh beroperasi sewenang-wenangnya untuk menjaga keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa supaya tidak bersubahat dengan menyediakan kemudahan akses internet dan bekalan tenaga kepada premis judi berkenaan.
Menurutnya, pihak berkuasa juga digesa menjalankan tugas mereka dengan penuh adil dan amanah selain pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih tegas dan bertanggungjawab untuk menghapuskan kegiatan perjudian di sini.
Golongan muda pulang lewat ke rumah
Sementara itu suri rumah Mazlina Ibrahim 35, berkata, sejak kehadiran pusat judi internet itu, anak-anak dan golongan muda di taman perumahan itu selalu pulang lewat malam dan dibimbangi akan terjebak dengan judi tersebut.
Seorang lagi penduduk, Kartini Othman berkata, kegiatan judi internet di taman perumahan itu akhirnya akan menghancurkan institusi rumah tangga penduduk di Taman Mentakab Indah.
“Saya gesa premis judi ini ditutup dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas jika ia beroperasi semula,” katanya.