Selasa, 6 November 2012

Puluhan besi longkang dicuri


Puluhan besi longkang dicuri
PASIR MAS – Seorang pelajar patah tangan apabila terjatuh dalam longkang, setelah penutup besinya dicuri.

Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Danial, 23, berkata, dia yang dalam perjalanan pulang membeli alat tulis, tidak menyedari besi penutup longkang di sini hilang.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan dia tersadung ke dalam longkang sedalam hampir semeter dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat patah tangan.

“Silap saya kerana tidak peka ketika berjalan, tapi pihak berkenaan sepatutnya meletakkan sebarang tanda amaran agar penduduk tidak menjadi mangsa.

“Kejadian ini menyebabkan saya terpaksa melupakan niat untuk mencari kerja sampingan ketika cuti semesta ini, kerana tangan saya tidak akan sembuh dalam masa yang singkat,” katanya, semalam.

Puluhan besi longkang dicuri
Sementara itu, peniaga, Pak Hong berkata, kes kecurian besi penutup longkang ini berlanjutan sejak beberapa bulan lalu dan laporan kepada pihak berkenaan sudah diajukan.

Namun katanya, tiada tindakan awal dilakukan bagi menggantikan penutup baru sehingga memaksa peniaga di sepanjang bangunan ini terpaksa meletakkan kayu dan kerusi sebagai amaran kepada penduduk yang melalui pejalan kaki ini.

“Saya dah letak tanda amaran, namun longkang yang agak jauh dari kedai, masih dibiarkan terbuka sehingga menyebabkan beberapa penduduk mengalami kecederaan apabila terjatuh.

“Saya mencadangkan pihak berkenaan menggantikan besi kepada penutup konkrit, kerana ia tidak ada nilai, sekiranya dicuri,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lebih 30 longkang tidak ditutup, setelah penutupnya dicuri sejak beberapa bulan lalu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...