Jumaat, 30 November 2012

Syarikat produksi kena pecah


Syarikat produksi kena pecah
IPOH - Pemilik sebuah syarikat pengurusan acara dan produksi, di Jalan Chung Thye Phin, di sini kerugian  RM60,000 selepas premisnya dipecah masuk awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.58 pagi itu, pemilik premis, Corwin Chong Kar Wei, 30, terkejut daripada tidur setelah alat penggera di telefon bimbitnya berbunyi menunjukkan premisnya dipecah masuk.

“Saya segera menghubungi rakan kongsi untuk memaklumkan perkara tersebut dan kami bergegas untuk melihat keadaan sebenar premis berkenaan.

“Setibanya di premis, kami mendapati pintu jeriji diumpil manakala kotak fius elektrik dirosakkan bagi mengelak kamera litar tertutup (CCTV) merakam perbuatan mereka.

“Kami turut mendapati lima buah kamera yang digunakan untuk melakukan tugasan produksi lesap dilarikan penyamun itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia bersama rakan kongsinya kemudian membuat laporan mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Pekan Baru.

Katanya, kejadian itu pertama kali berlaku sejak lima tahun beroperasi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Osman berkata, dalam kejadian itu, mereka mendapati tiga lelaki dipercayai berusia 20-an memecah masuk premis berkenaan lebih kurang jam 7 pagi.

Menurutnya, dua lelaki bertindak mengumpil pintu gril bahagian bawah sebelum menaiki ke bahagian atas kedai tersebut.

“Melalui rakaman CCTV kami melihat dua daripada lelaki berkenaan cuba menyembunyikan wajah dengan menutup separuh daripada muka mereka manakala seorang lagi berkawal di bahagian bawah.

“Salah seorang daripadanya memakai baju T dan berseluar pendek manakala seorang lagi memakai topi, baju T dan berseluar panjang.
“Selepas menyedari aksi mereka dirakam, salah seorang daripada lelaki terbabit menutup fius CCTV,” katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk melakukan samun dan melarikan lima unit kamera video yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Tambahnya, Unit Forensik Polis turut mengesan beberapa cap jari yang dijangka dapat membantu mereka menjejaki penjenayah terbabit.
“Setakat ini kami masih meneruskan siasatan bagi menjejaki ketiga-tiga suspek yang melakukan jenayah tersebut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...