Jumaat, 21 Disember 2012

Jenayah: Polis sasar turunkan kadar kebimbangan


PETALING JAYA – Polis menyasarkan untuk mengurangkan kebimbangan orang ramai terhadap jenayah kepada 24 peratus berbanding 50 peratus sekarang melalui pelaksanaan fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada tahun depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya sedar masih wujud kebimbangan di kalangan masyarakat terhadap keselamatan meskipun kadar jenayah sebenar mencatat penurunan.
"Saya lihat masih ada masyarakat yang berasa takut dengan keselamatan mereka walaupun laporan keamanan antarabangsa menunjukkan negara berada dalam keadaan selamat, sekali gus memperlihatkan usaha dalam memerangi jenayah selama ini di landasan yang betul.
"Kita dalam usaha untuk memerangi persepsi masyarakat untuk memperbetulkannya memandangkan ia menjadi sebahagian daripada kehendak mereka terhadap pasukan keselamatan,” katanya selepas majlis penganugerahan Balai League Table (BLT) siri 2 dan 3 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan fasa kedua NKRA Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada tahun depan akan memberi tumpuan kepada persepsi orang ramai terhadap keselamatan.
Berbanding fasa pertama yang lebih menumpukan kepada statistik, indeks dan sasaran jenayah tertentu, fasa kedua akan menekankan tentang suasana, persekitaran dan persepsi masyarakat terhadap keselamatan di sekeliling mereka. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...