Khamis, 6 Disember 2012

Pasar raya kerugian RM200,000 dipecah masuk


PEKAN - Sebuah pasar raya di Jalan Tanah Putih di sini kerugian wang tunai RM200,000 selepas premis berkenaan dipecah masuk awal pagi semalam.
   
Kejadian terbabit hanya disedari penyelia pasaraya berkenaan yang terkejut apabila mendapati ruang dalam pejabat pasar raya itu berselerak ketika membuka premis berkenaan kira-kira 8 pagi.
   
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Yahaya Othman, penyelia terbabit kemudian menghubungi majikannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan, jam 9 pagi semalam.
   
"Kejadian terbabit dipercayai dilakukan lebih daripada seorang suspek antara jam 12 tengah malam hingga jam 5 pagi.
   
"Suspek dipercayai menceroboh masuk selepas memanjat bumbung premis berkenaan sebelum mengumpil pintu pejabat pasaraya itu.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa suspek lagi berkawal di luar premis terbabit," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Katanya, selepas mengumpil pintu berkenaan, suspek kemudian menggeledah ruang pejabat terbabit dan juga mengumpil peti besi yang menyimpan wang tunai berkenaan.
   
Kata beliau, suspek juga dipercayai melarikan diri melalui laluan yang sama.
   
Beliau berkata kes itu kini disiasat  mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...