Sabtu, 29 Disember 2012

Pencuri menyamar pelanggan


Pencuri menyamar pelanggan
MELAKA TENGAH – Pekerja butik pakaian pengantin di Alai, di sini, kerugian lebih RM1,000 selepas sebentuk cincin miliknya dan telefon bimbit yang baru dibeli dua hari lepas dilarikan dua lelaki yang pada mulanya berpura-pura menjadi pelanggan.

Kejadian berlaku jam 3 petang kelmarin ketika mangsa sedang bersendirian menyusun pakaian pengantin di butik terbabit.

Menurut mangsa, Noor Hafizah Zainal, 22, dia pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa apabila dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an masuk ke dalam butiknya.

“Pada mulanya salah seorang daripada mereka masuk dahulu dan terus bertanyakan mengenai pakej pertunangan untuk adik iparnya.

“Dia memberitahu inginkan pakej tersebut kerana dia menaja majlis pertunangan adik iparnya itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, jelas Noor Hafizah, seorang lagi lelaki yang merupakan rakan suspek masuk 10 minit kemudian dan terus duduk di kerusi.

“Pintu butik memang tidak berkunci untuk memudahkan pelanggan masuk.

“Saya juga langsung tidak mengesyaki mereka mempunyai niat jahat kerana raut wajah nampak seperti orang baik-baik,” katanya.

Menurut Noor Hafizah, ketika dia sedang menyusun pakaian, kedua-dua lelaki itu terus menghampirinya dan meminta dia menyerahkan apa sahaja barang berharga yang ada.

“Ketika itu rasa nak gugur jantung, apatah lagi salah seorang daripada mereka menghunuskan pisau lipat kecil ke arah badan saya.

“Saya beritahu mereka saya tak ada duit, tapi mereka terlihat cincin yang saya pakai lalu meminta saya menanggalkannya,” katanya.

Bimbang dicederakan, dia terpaksa menuruti permintaan suspek lalu memberi cincin itu dan sebuah telefon bimbit miliknya jenis Samsung Galaxie Mini kepada suspek.

Selepas mengambil kedua-dua barang berharga tersebut, kedua-dua suspek kemudian terus melarikan diri menaiki sebuah kereta MPV Naza Ria berwarna kelabu.

Apa yang menyedihkan, kata Noor Hafizah, cincin yang diberi itu adalah cincin merisik daripada teman lelakinya dan telefon bimbit tersebut pula baru dua hari  digunakan.

Berikutan kejadian itu, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kandang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...