Khamis, 20 Disember 2012

seorang lelaki yang meninggal dunia ditinggalkan di atas kerusi roda


Lesap selepas tinggal mayat
JASIN – Sebuah klinik swasta di Taman Debunga, Merlimau di sini gempar apabila seorang lelaki yang meninggal dunia ditinggalkan di atas kerusi roda oleh dua lelaki tidak dikenali, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Melaka, Superintendan R Gunarajan berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila dua lelaki menaiki sebuah kereta datang ke klinik berkenaan untuk menghantar seorang lelaki yang cedera tanpa sebarang identiti.

“Kakitangan klinik berkenaan menerima seorang pesakit dan kemudian dua lelaki yang menghantarnya telah meminjam sebuah kerusi roda dari klinik terbabit.

“Kebetulan klinik ini tiada doktor dan menyedari keadaan mangsa yang parah, kakitangan klinik menghubungi ambulans untuk membawa pesakit ke hospital.

“Namun, sebaik ambulans tiba, kakitangan hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia, manakala dua lelaki terbabit lesap,” katanya kepada ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Gunarajan berkata, setakat ini belum dapat dipastikan punca sebenar kematian, namun siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian mulut mangsa.

"Berdasarkan kenyataan kakitangan klinik terbabit, mangsa dibawa dua lelaki dan menyatakan mereka menemui mangsa di Kampung Merlimau Dalam sebelum dibawa ke klinik.

“Dua lelaki terbabit kemudiannya terus menghilangkan diri sebaik meletakkan mangsa di klinik.

“Saksi ada nampak dua lelaki terbabit membawa mangsa ke klinik dengan menggunakan kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu,” katanya.

Menurutnya, kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di klinik berkenaan bagaimanapun tidak berfungsi untuk membantu siasatan polis.

“Setakat ini tiada pihak yang mengenali mangsa dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut sementara menunggu siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai yang mengetahui kes berkenaan dan identiti mangsa supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saliman Md Salleh di talian 012-4280081 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...