Khamis, 17 Januari 2013

Inspektor, sarjan polis didakwa tuduhan rasuah


SUNGAI PETANI - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan seorang Sarjan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor pada 2011.
Inspektor Syed Othman Konchong, 49, yang bertugas di bahagian pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan dan Sarjan Abd Hamid Saad, 53, (bahagian Gerakan IPD Yan) yang dihadapkan berasingan, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Syed Othman yang menghadapi dua pertuduhan iaitu bagi tuduhan pertama, dia secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM1,700 kononnya untuk ketuanya daripada kontraktor Fauzanudin Arafadin melalui panggilan telefon 3.15 petang, 14 Julai 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa meminta RM2,000 daripada Fauzanudin pada 6 petang di tapak pembinaan Klinik Kesihatan Teroi, Yan pada 20 Jun 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut akta sama. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...