SHAH ALAM - Sekumpulan pencuri melarikan wang tunai RM190,000 dari sebuah mesin pengeluaran wang (ATM) apabila mereka memecah masuk sebuah stesen minyak di Taman Alam Megah, Seksyen 28 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Zahedi Ayop berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pekerja stesen minyak itu ketika datang bertugas pagi ini dan mendapati pintu belakang stesen minyak itu mempunyai kesan diumpil manakala mangga pintu pula dipotong.
"Dua lagi mesin ATM ditarik keluar dan mempunyai kesan dipotong namun mereka tidak berjaya melarikan wang tunai di dalamnya,” kata beliau kepada pemberita di sini.
Zahedi berkata polis percaya kejadian pecah masuk itu dilakukan lebih seorang suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menjejak mereka yang terlibat. - BERNAMA