Selasa, 1 Januari 2013

Laporan polis melalui 'online'


Laporan polis melalui 'online'
KOTA BHARU - Polis Kelantan bersedia menerima aduan masyarakat melalui laporan polis dalam talian (online) yang bakal dilancarkan pada tahun hadapan bagi menyediakan perkhidmatan terbaik di samping memudahkan pasukan menjalankan siasatan dengan lebih efisien.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, beliau menyambut baik pelaksanaan portal terbabit yang dapat membantu meningkatkan mutu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Portal berkenaan yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu juga turut memberikan kemudahan kepada masyarakat membuat laporan secara terus tanpa perlu datang ke balai polis dengan hanya melayari internet.

“Untuk membuat laporan melalui dalam talian, kita mesti tetapkan garis panduan setiap laporan itu ada kesahihannya, jadi setiap individu yang membuat laporan itu mestilah melaporkan perkara benar, jika tidak mereka akan berdepan dengan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program konvoi Jelajah Kelantan Bersama Mencegah Jenayah di perkarangan Pasar raya Tesco, di Kampung Lembah Sirih semalam.

Konvoi tiga hari yang bermula semalam dan berakhir Isnin ini, melibatkan 36 motosikal berkuasa tinggi dan 13 kenderaan itu turut menjelajah seluruh Kelantan bagi mendekati masyarakat setempat di setiap daerah dalam program ‘Komuniti Policing’.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Kelantan, Datuk Abdul Aziz Nawi serta Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapa.

Sementara itu, mengenai perkembangan banjir di Kelantan, beliau berkata, polis sentiasa bersedia menjaga keselamatan setempat termasuk di kawasan-kawasan yang dilanda  bencana berkenaan dan menasihatkan penduduk yang meninggalkan rumah tidak khuatir mengenai keadaan rumah mereka yang ditinggalkan kosong sementara ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

“Setakat ini kita masih belum menerima sebarang laporan mengenai kes kecurian di kawasan rumah yang ditenggelami air ketika ditinggalkan kosong oleh penghuninya disebabkan terpaksa berpindah ke penempatan sementara.

“Apa pun sebagai pasukan keselamatan, kita sentiasa bersiap sedia dan menyediakan unit-unit khas bagi memantau keadaan setempat untuk memastikan kawasan kediaman yang dinaiki air selamat dari sebarang kegiatan jenayah,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...