Jumaat, 8 Februari 2013

Aktiviti keganasan: 3 termasuk bekas tahanan ISA ditahan


Tan Sri Ismail Omar
KUALA LUMPUR - Tiga Individu termasuk seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 iaitu undang-undang yang menggantikan ISA.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan perkara itu berkata, ketiga-tiga individu yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu ditahan hari ini dipercayai terlibat dalam merekrut rakyat tempatan sebelum dihantar ke luar negara bagi menjalankan misi militan.
 
"Ketiga-tiga suspek termasuk juga seorang wanita ditahan di bawah Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan," katanya.
 
Yazid merupakan bekas tahanan ISA pada 2001 sebelum dibebaskan tujuh tahun kemudian.  Ketiga-tiga mereka ditahan di Kajang, katanya.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan," kata Ismail.

Dalam pada itu, Suara Rakyat Malaysia menerusi satu kenyataan berkata, Yazid ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta jam 12.30 tengah tadi." Katanya, dia ditahan bersama pekerjanya Mohd Hilmi Hasim.
"Tangkapan dibuat sekumpulan polis dari Bukit Aman. Menurut Pegawai Penyiasat, Yazid bersama pekerjanya ditahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan atas tuduhan mempromosikan kegiatan keganasan.
"Yazid Sufaat merupakan bekas tahanan ISA yang ditahan pada disember 2001 dan dibebaskan pada Disember 2008. Kini beliau menjadi pengusaha kafetaria di kantin Mahkamah Tinggi Jalan Duta," katanya.
Sebaik ditahan, pihak polis membawa Yazid dan pekerjanya ke kediamannya di Taman Bukit Ampang untuk digeledah.
"Peguam juga dimaklumkan bahawa Yazid dan Hilmi akan ditahan selama 48 jam atau dua hari menggunakan peruntukan Seksyen 5 (2) akta yang sama.
"Seksyen 5 (2) juga membolehkan pihak Polis menangguhkan hak orang yang ditahan untuk mendapat khidmat konsultasi guaman sehingga 48 jam dari tempoh ditahan.
"Bagaimanapun pihak polis masih belum memaklumkan balai polis tempat Yazid dan pekerjanya akan ditahan," katanya lagi.

Akta itu memberi kuasa kepada pihak polis untuk menahan orang yang dituduh sehingga 28 hari untuk tujuan siasatan tanpa melalui proses mahkamah.

"Suaram mengutuk tindakan pihak polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan hak asasi manusia.
"Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia.
"Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan pihak polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan," kata Suaram.
Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Anti Pengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi Bernama berkata polis sedang menyiasat sama ada tiga individu tersebut mempunyai kaitan dengan militan antarabangsa.
"Kita masih siasat dan perkara ini masih terlalu awal untuk dimaklumkan," kata Mohamad Fuzi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek itu dipercayai anggota terlatih kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang dipercayai cuba merekrut dan melatih lebih 50 belia di negara jiran.
Maklumat awal mendapati, mereka yang dilatih terdiri daripada golongan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Difahamkan mereka menyertai latihan tersebut untuk melakukan misi yang disyaki dirancang, termasuk menjadi pengebom berani mati, oleh kumpulan pengganas antarabangsa, Al-Qaeda, dengan diserapkan beberapa fahaman termasuk membenci negara-negara Eropah, yang didakwa menindas orang Islam.
Menurut sumber itu, pelatih tersebut kemungkinan sedang menjalani latihan di beberapa lokasi yang sedang dikenal pasti di dalam negara.
"Kemungkinan ada lagi penahanan susulan melibatkan tenaga pengajar kumpulan militan termasuk warga asing dari Asia Barat, yang berada di negara ini," katanya.
Sumber itu berkata antara tiga yang ditahan adalah bekas tahanan ISA yang disyaki mempunyai hubungan dengan JI.
JI dikatakan menggunakan kaedah kekerasan dengan menyasarkan kepentingan Barat di rantau ini dan berhasrat untuk mendirikan sebuah Negara
Islam Raya di Nusantara, khususnya Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Ia dipercayai mempunyai hubungan kewangan antara JI dengan kumpulan pengganas lain, seperti Abu Sayyaf dan Al-Qaeda.
Hishammuddin ketika mengesahkan penahanan tiga suspek itu ketika ditemui pada satu majlis di Putrajaya berkata: "Ketiga-tiga orang ini ada kaitan dengan kegiatan militan dan keganasan."
Beliau berkata walaupun ISA dimansuhkan pada 2011 namun kerajaan tetap tegas dalam menegakkan kepentingan dan keselamatan negara menerusi penguatkuasaan akta baharu itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...