SEREMBAN: Empat lelaki bersenjatakan beberapa pucuk pistol bertindak nekad merompak sebuah kedai emas dan melarikan 11 dulang barangan kemas dalam satu kejadian di Taman Senawang Jaya di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, penjenayah berkenaan terlebih dahulu melepaskan beberapa das tembakan ke udara di hadapan premis terbabit menyebabkan orang ramai lari menyelamatkan diri.
"Penjenayah yang memakai topeng muka kemudiannya memecahkan cermin pameran barangan kemas dan mengambil 11 dulang barangan kemas sebelum melarikan diri dengan motosikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jumlah kerugian masih belum dapat ditaksirkan, katanya.
Sementara itu, seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Alang, 55, berkata ketika kejadian, dia berada di sebuah kedai berhampiran sebelum melihat empat lelaki bertopeng menaiki dua buah motosikal berhenti di depan kedai emas berkenaan.
Katanya, dua lelaki yang membawa kapak dan tukul besi meluru masuk ke kedai emas manakala dua lagi lelaki berkawal di tengah jalan di hadapan premis sambil seorang daripada mereka memegang dua pucuk pistol.
"Kerana curiga saya menghampiri kedai berkenaan dan terkejut selepas lelaki yang memegang dua pucuk pistol itu secara tiba-tiba melepaskan tiga das tembakan ke udara sambil menjerit 'lari...lari'.
"Lelaki itu turut menghala pistolnya ke arah orang ramai dan kenderaan yang lalu-lalang menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri," katanya.
Katanya, penjenayah terbabit berada di situ selama kira-kira tiga minit sebelum beredar dengan dua beg berisi barangan kemas. - BERNAMA