BUTTERWORTH: Seorang pengurus sebuah syarikat binaan yang baru mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerjanya dari sebuah bank di sini, disamun lebih RM130,000 oleh tiga lelaki yang berpakaian menyerupai anggota penguatkuasa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 34 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Raja Uda selepas mengeluarkan RM150,000 di Jalan Inderawasih.
"Tiga lelaki yang berpakaian warna biru menyerupai uniform anggota penguatkuasa kemudian keluar dan membuka pintu kereta mangsa sebelum melarikan sebuah beg berisi wang lebih RM130,000," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Beliau berkata, mangsa serta rakannya tergamam dan tidak sempat melawan tiga perompak yang tidak menggunakan sebarang senjata.
Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan pada kereta Proton Waja adalah palsu dan polis melancarkan operasi mengesan tiga suspek berusia antara 40 dan 50 tahun itu. - BERNAMA