Rabu, 20 Mac 2013

INISIATIF GTP 2.0 TINGKAT KERJASAMA POLIS, ORANG RAMAI BANTERAS JENAYAH

Kuala Lumpur, 19 Mac - Inisiatif mengurangkan jenayah dan langkah penambahbaikan perkhidmatan polis di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah meningkatkan keyakinan orang ramai untuk turut bekerjasama membendung gejala jenayah, menurut beberapa aktivis sosial.


Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata pengenalan bilik khas dikenali 'Triaj' di balai polis memberi keyakinan kepada orang ramai semasa membuat aduan terutama kes-kes sensitif. 

"Bila adanya kemudahan (Triaj) macam ini, orang ramai yakin dengan polis dan mudah untuk tampil membuat laporan tanpa segan. Setiap hari orang ramai berurusan dengan polis. Bilik triaj amat berkesan dalam membantu mangsa," katanya mengulas laporan tahunan GTP yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

'Triaj' bermaksud "tindakan mengikut kesesuaian" dalam bahasa Perancis.

Lee juga berkata inisiatif Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dalam fasa pertama GTP sebelum ini dilihat amat berjaya dalam mengeratkan hubungan masyarakat dan polis terutama dalam menyalurkan maklumat jenayah.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata jenayah pecah rumah yang sering berlaku di kawasan dan taman perumahan perlu ditangani oleh masyarakat sendiri. 

Beliau berkata kepolisan komuniti dianggap sebagai salah satu strategi untuk mengurangkan jenayah pecah rumah di sesuatu kawasan perumahan.

Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar pula menyifatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pasukan yang prihatin terhadap masalah yang membelenggu komuniti.

"Saya melihat PDRM begitu komited dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dengan mewujudkan pelbagai inisiatif termasuk meningkatkan kerjasama dengan komuniti setempat. 

"Masyarakat harus beri sokongan berterusan demi menjamin keamanan yang berterusan. Sekiranya ada strategi baharu yang tidak betul, bagi tau dengan cara betul, kena cari saluran yang betul untuk suarakan pendapat. Jangan mengukur kejayaan polis berdasarkan kesilapan atau kekurangan yang wujud," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...