Sabtu, 23 Mac 2013

ISMAIL YAKIN STRATEGI JANGKA PENDEK DAN PANJANG JAMIN KESELAMATAN SABAH


Gambar: HARI POLIS KE-206: Telah berlangsung sebentar tadi sesi wawancara bersama Tan Sri Dato’ Seri Utama Haji Ismail bin Haji Omar, Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Ikuti wawancara penuh tersebut yang akan disiarkan pada 25 Mac 2013 ini sempena sambutan Hari Polis ke 206 tahun.
Kuala Lumpur, 22 Mac - Pengukuhan kehadiran anggota keselamatan secara berterusan di kawasan yang terlibat dengan aktiviti pengganas dan penubuhan kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah, akan dapat mengekalkan keselamatan di Sabah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kedua-dua strategi jangka pendek dan jangka panjang itu dapat menyekat kemasukan pengganas yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan Sabah pada masa-masa akan datang.

"Kita percaya musuh sekarang tertekan kerana ramai rakan mereka telah ditahan dan ada yang kini didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Pesuruhjaya Polis/Ketua Polis Negeri/Komander dan Komandan di Maktab PDRM Cheras, di sini hari ini.

Isu pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ialah antara isu yang
dibincangkan pada persidangan itu selain mengenai persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ismail berkata anggota keselamatan telah menambah baik persiapan awal PRU13 dan kini bersedia untuk mengawal keselamatan sepanjang PRU.

"Orang ramai mempunyai peranan yang sangat penting, jadi mereka diminta bersikap rasional dan jangan bertindak seperti negara kita tiada undang-undang," katanya. 

Terdahulu beliau menerima sumbangan berjumlah RM354,782 daripada 10 penyumbang meliputi badan bukan kerajaan dan sektor korporat antaranya Bank Islam, Adabi Consumer Industries serta Persatuan Polis Agama Buddha.

Sumbangan itu akan diagihkan kepada lima penerima iaitu Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau, Balai Polis Lahad Datu, Balai Polis Tungku Lahad Datu, Balai Polis Cenderawasih dan Komtek Felda Sahabat 16 Lahad Datu. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...