Khamis, 21 Mac 2013

KEPALA LELAKI WARGA EMAS DITEMUI DI DALAM KUIL DI LADANG KELAPA SAWIT

Gambar hiasan

Kluang, 20 Mac - Polis menemui satu kepala milik lelaki warga emas yang dipercayai dijadikan pemujaan di dalam sebuah kuil di kawasan ladang kelapa sawit, dekat Sri Lalang, di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Abdul Majid Mohd Ali berkata kepala lelaki berusia 62 tahun itu ditemui penjaga kuil di Ladang Coronation pagi ini sebelum melaporkan kepada polis pada pukul 7.30 pagi.

"Siasatan awal mempercayai lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum kepalanya yang dipotong dengan senjata tajam dibawa ke kuil berusia lebih 70 tahun itu untuk tujuan pemujaan. Usaha sedang digiatkan untuk mengesan anggota badan lelaki itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, di sini hari ini.

Abdul Majid berkata pemeriksaan mendapati lelaki itu merupakan seorang gelandangan, pemabuk dan sering tidur di sebuah tokong di kawasan Sri Lalang selepas isteri dan anaknya berpindah ke Johor Baharu.

Beliau berkata setakat ini, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor percaya lelaki itu dibunuh kira-kira lapan jam lepas berdasarkan titisan darah yang ada di tempat kejadian.

Katanya senjata yang digunakan untuk membunuh lelaki itu belum ditemui dan usaha sedang dibuat untuk mengesannya di sekitar kawasan itu.

Abdul Majid berkata pihaknya percaya lebih daripada tiga suspek sempat mengadakan upacara pemujaan menggunakan kepala terbabit sebelum melarikan diri.

Sehubungan itu, beliau berkata polis sedang mengesan kesemua suspek yang berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun itu dan empat kenderaan yang digunakan mereka bagi melarikan diri.

"Apa yang penting, kejadian ini bermotifkan pemujaan dan bukannya perkauman mahupun gangsterisme. Kami tidak mahu orang ramai membuat pelbagai spekulasi mengenainya," katanya.

Abdul Majid berkata kepala terbabit kini dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini dan polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP

Ahmad Zamry Marinsah di talian 019-7266998 bagi membantu siasatan. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...