Khamis, 7 Mac 2013

POLIS BURU DUA PEMANDU TEKSI TERLIBAT SAMUN PENUMPANG


Kuala Lumpur, 6 Mac - Polis sedang memburu dua pemandu teksi yang aktif memeras ugut penumpang sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM40,000 dalam 13 kes sejak awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata S. Prakash Kumar, 39, dan A. Joseph, 26, diburu setelah empat lagi rakan mereka dituduh di mahkamah baru-baru ini.

"Selain kedua-dua mereka, polis sedang berusaha mengesan dua lagi kumpulan yang melakukan aktiviti yang sama," katanya kepada sidang media di sini hari ini.

Katanya modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan berpura-pura teksi mereka rosak atau membawa mangsa ke sebuah lokasi sebelum suspek menelefon rakannya untuk menyamun mangsa.

"Mangsa kebiasaannya wanita dan kegiatan itu biasanya dilakukan di waktu petang," katanya sambil menambah ada juga kes di mana suspek memaksa mangsa mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM).

Ku berkata siasatan mendapati pemandu teksi palsu itu kebanyakannya menyewa dari pemilik teksi sebenar atau 'dari tangan ke tangan'.

Katanya selepas disamun, mangsa juga ditinggalkan di tepi jalan atau dikurung dalam jangka masa pendek. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mengambil semua maklumat mengenai nombor pendaftaran teksi, nama dan kad pemandu teksi yang tertera di hadapan tempat duduk penumpang hadapan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya mereka menjadi mangsa.

"Ini penting kerana sekiranya anda menjadi mangsa, polis lebih mudah mengesan mereka berdasarkan maklumat pemandu teksi yang diberikan," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 3, Akta Culik 1961 yang membawa hukuman penjara seumur hidup," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis mengesan dua kes pukul penumpang teksi yang melibatkan pelancong asing di sekitar ibu negara baru-baru ini.

Ku berkata polis menerima laporan dari pelancong asing dari China dan Amerika Syarikat yang mendakwa dipukul dan ditumbuk pemandu teksi kerana tidak puas hati dengan kadar bayaran yang dikenakan.

"Mereka berdua mendakwa dipukul, sehingga salah seorangnya terpaksa ditahan di hospital.

Bagaimanapun suspek tidak dapat ditahan kerana mangsa tidak dapat mengecam pemandu teksi yang menumbuknya," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...