Ahad, 7 April 2013

CUBA SERANG POLIS: LELAKI CEDERA DITEMBAK DI PUNGGUNG


George Town, 6 April - Akibat cuba menyerang anggota polis dengan sebilah parang, seorang lelaki disyaki penyamun cedera ditembak di bahagian punggung di Lorong Madras semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata dalam kejadian 9.15 malam itu, suspek yang menunggang motosikal dilihat berkelakuan mencurigakan sebelum ditahan dua anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

"Suspek bagaimanapun bertindak agresif dan melibas seorang daripada anggota kita dengan parang yang dibawanya sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai punggung sebelah kanannya," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sejurus sebelum kejadian, lelaki berusia 49 tahun yang tinggal di Lone Pine, Air Itam itu baharu selesai menyamun sebuah kedai serbaneka dan stesen minyak.

Katanya, suspek yang memiliki dua rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor stabil. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...