Ahad, 21 April 2013

#PRU 13# GE 13: POLIS INGATKAN BUKAN PARTI POLITIK TIDAK LETAK POSTER, BENDERA DI TEMPAT AWAM

Gambar hiasan

Kuala Lumpur, 20 April - Polis hari ini mengingatkan pihak-pihak bukan parti politik agar tidak menampal bendera atau poster di tempat awam semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 


Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata perbuatan itu boleh mencetuskan provokasi sehingga mengganggu keselamatan awam. 

"Kalau ini berniat jahat dan cuba mencetuskan provokasi maka ia patut dihentikan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 


Beliau juga berkata polis akan merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sama ada perbuatan sedemikian dibolehkan.

Kelmarin, sebuah akhbar tempatan melaporkan sebilangan besar bendera berwarna kuning dipasang di sekitar bulatan Lucky Garden, Bangsar, yang didakwa cuba mencetuskan provokasi semasa kempen PRU13.


Beliau berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan menjelang PRU13. 

"Sekiranya ada laporan polis dibuat, sekiranya kita dapat maklumat yang tepat maka kita akan bertindak bagi memastikan mereka ini tidak menimbulkan suasana tidak aman menjelang 5 Mei ini," katanya. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...