Rabu, 24 April 2013

#PRU 13# GE13: PARTI DIINGAT TIDAK LIBATKAN PEKERJA BUKAN WARGANEGARA


Kuala Lumpur, 23 April - Parti politik diingatkan supaya tidak melibatkan pekerja bukan warga negara untuk melakukan aktiviti berkaitan pilihan raya umum termasuk memasang bendera atau banting parti-parti politik.


Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan tegas akan diambil kepada parti politik berkenaan jika didapati berbuat demikian.

"Parti politik tidak boleh memberi subkontrak kepada orang bukan warga Malaysia bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.


"Tindakan tegas boleh diambil ke atas pekerja bukan warga negara berkenaan mengikut Akta Imigresen 1959/1963, sekiranya terlibat dalam PRU," katanya pada taklimat media Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Ramli berkata rakyat Malaysia yang mengupah pekerja bukan warga negara untuk melakukan kerja berkaitan pilihan raya juga akan didakwa mengikut Peraturan Imigresen dan Akta Imigresen 1959/1963. 

Menjawab soalan, Ramli berkata setakat ini tiada laporan diterima mengenai penglibatan pekerja bukan warga negara dalam aktiviti pilihan raya.

Selain itu, Ramli turut mengingatkan penyokong parti supaya tidak menampal poster atau menggantung bendera parti pada kenderaan polis.

"Ada yang nakal, mereka bukan sahaja menampal bendera partinya pada kenderaan polis, malah turut mengambil gambar dan menyebarkan kepada orang ramai bahawa polis terlibat dalam politik," katanya sambil menegaskan bahawa pihak polis tidak menyebelahi mana-mana parti politik pada PRU-13 ini.

Beliau juga berkata sebanyak 1,363 aktiviti membabitkan PRU13 berlangsung di seluruh negara semalam iaitu 545 ceramah, perjumpaan dan mesyuarat (250), kunjungan rumah ke rumah (69), kempen (181) dan lain-lain sebanyak (318).

Jumlah laporan polis yang terkumpul setakat semalam sebanyak 202 dan sebanyak 15 tangkapan dibuat semalam, termasuk enam di Pulau Penang yang melibatkan kesalahan pilihan raya.

Ramli juga meminta penyokong parti supaya tidak menyimpan senjata berbahaya termasuk pisau, kapak, parang, lembing dan keris, di tempat-tempat awam bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Sekiranya polis menahan sesiapa mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, mereka boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...