Jumaat, 24 Mei 2013

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah tuduhan rasuah


IPOH: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah membabitkan wang tunai RM15,000. 

Asisten Superitendan Ng Swie Chait, 34, dan Lans Koperal Detektif Mohd Syafiq Omar, 29, dituduh secara bersama melakukan perbuatan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini antara 10 malam hingga 11 malam, 30 Mac 2011. 

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang bertugas di jabatan berkenaan didakwa meminta RM15,000 daripada Kong Wan Heng dan isterinya Leong Suet Lai bagi membebaskan Kong yang ditahan berkaitan kes jenayah dan memulangkan barang kemas yang dirampas daripada siasatan kes. 

Mereka juga didakwa menerima RM15,000 daripada Leong untuk tujuan yang sama pada tarikh dan di tempat yang sama. 

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi. 

Hakim Julie Lack Abdullah membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Jun untuk sebutan semula kes. 

Ng diwakili peguam M M Athimulan dan Mohd Syafiq diwakili Gobind Singh Deo manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar dan M Puveneswaran. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...