Khamis, 2 Mei 2013

Lelaki nyaris maut ditembak

Gambar hiasan

IPOH: Seorang lelaki nyaris maut apabila dua lelaki menaiki motosikal secara tiba-tiba melepaskan satu das tembakan ke arahnya yang ketika itu berada dalam kawasan pagar rumahnya di Simpang dekat Taiping malam tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Yusof Mohd Diah berkata nasib baik tembakan itu tidak terkena lelaki 26 tahun itu. 
Katanya kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila dua lelaki tidak dikenali lingkungan umur 20-an dan 30-an yang menaiki motosikal tiba-tiba menghampiri lelaki itu dan memanggilnya.
"Mangsa membenarkan mereka masuk dalam kawasan pagar rumah. Dengan tiba-tiba seorang daripada mereka mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan satu das tembakan ke arahnya tetapi tidak mengenai mangsa. Kedua-duanya kemudian melarikan diri," katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap dan polis giat memburu suspek. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...