KUALA LUMPUR 16 Mei - Polis memburu empat suspek termasuk seorang yang sudah dikenal pasti identitinya kerana dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Raja Laut di sini pada 6 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, identiti suspek tersebut dikenal pasti berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis itu semasa kejadian.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, dua suspek bersenjatakan parang menyerang pemilik kedai itu sementara dua lagi rakan mereka menunggu di luar kedai.
"Suspek kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM30,000 serta beberapa telefon bimbit dengan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM35,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, kedua-dua suspek itu melarikan diri bersama dua lagi rakan mereka dengan menaiki motosikal jenis Yamaha 125, masing-masing berwarna hitam dan biru.
Sementara itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat (IO), Inspektor Mohd. Hasrul Nizam di talian 019-297 8103 atau 03-2600 2222.