Selasa, 21 Mei 2013

Pengawal keselamatan PLKN ditahan bantu siasatan lebih 200 telefon bimbit pelatih hilang


MELAKA - Seorang pengawal keselamatan di sebuah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Alor Gajah ditahan bagi membantu siasatan kehilangan lebih 200 unit telefon bimbit milik pelatih di kem itu membabitkan kerugian kira-kira RM57,000.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Kota, Rembau, Negeri Sembilan pada 10 malam Sabtu lepas.
Beliau berkata, lelaki terbabit sebelum itu membuat laporan polis pada 14 Mei lepas berhubung kehilangan telefon bimbit tersebut yang disimpan dalam loker simpanan di kem berkenaan.
"Polis bagaimanapun mencurigai tindakan dan laporan yang dilakukan lelaki berkenaan sebelum menahannya bagi membantu siasatan kes itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jelasnya, lelaki terbabit kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
"Kesemua telefon bimbit milik pelatih diserahkan kepada jurulatih kem berkenaan untuk disimpan dalam loker simpanan setiap Isnin sebelum diserahkan semula kepada pelatih pada Sabtu," ujarnya. - Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...