Khamis, 23 Mei 2013

PERHIMPUNAN HARAM HALANG POLIS TUMPU PENCEGAHAN JENAYAH


Kuala Lumpur, 22 Mei - Sikap penganjur dan peserta perhimpunan yang tidak mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 menyukarkan polis untuk menumpukan tugasan hakikinya menjaga ketenteraman awam dan membanteras jenayah. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sikap penganjur yang tidak memaklumkan mengenai perhimpunan dan tidak berbincang dengan pihak polis adalah antara tindakan yang tidak mematuhi syarat dalam APA. 

Akibatnya, beliau berkata pasukan polis terpaksa mengambil langkah keselamatan yang lebih dengan menggerakkan anggota pasukan di satu kawasan dalam jumlah yang besar. 

"Kerana ingin menjaga ketenteraman awam di perhimpunan itu, kita terpaksa tempatkan ramai anggota kerana khuatir jika ada kumpulan lain yang menentang perhimpunan itu hadir mengadakan demonstrasi dan akhirnya berlaku pergaduhan," katanya. 

Katanya selepas pilihan raya umum ke-13 berakhir, pembangkang telah mengadakan beberapa siri perhimpunan haram di beberapa negeri membantah keputusan pilihan raya umum dan didapati perhimpunan mereka telah melanggar syarat di dalam APA. 

Pembangkang telah menganjurkan lima perhimpunan iaitu di Perak, Kelantan, Sabah, Selangor dan Pulau Pinang dan kesemuanya adalah perhimpunan haram. 

Beliau berkata akibat tindakan menjaga sesuatu perhimpunan itu, tugasan pasukan polis telah terganggu daripada menjalankan rondaan pencegahan jenayah. 

"Kita menggunakan sumber yang ramai untuk tujuan itu, perhatian kita telah dialihkan daripada tugas untuk menangani tugas-tugas lain dalam kepolisan ini, selain mencegah jenayah, mengawal lalu lintas dan sebagainya," katanya. 

Jika pihak penganjur memaklumkan kepada polis dan mematuhi syarat mengikut APA, beliau memberi jaminan perhimpunan yang ingin dianjurkan akan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...