Gambar hiasan |
ALOR SETAR: Seorang warga emas meninggal dunia selepas ditikam dengan gunting dan disamun dipercayai oleh pembantu rumahnya sendiri di Taman Serindit, Jalan Langgar di sini, Isnin.
Mangsa, Che Siah Wan Nik, 75, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya dengan kesan tikaman di rusuk kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata polis menerima panggilan pada 11.25 pagi daripada jiran mangsa yang mengatakan berlaku kes samun di rumah Che Siah.
Ketika polis tiba di tempat kejadian, pembantu rumah berasal dari Batam, Indonesia berusia 38 tahun mendakwa majikannya itu dirompak empat lelaki warga Indonesia, katanya pada sidang media di sini, Isnin.
"Polis menemui barangan kemas milik mangsa dan wang tunai RM4,000 di dalam beg suspek. Suspek dikatakan bekerja dengan mangsa selama setahun setengah dan pulang ke Indonesia Disember 2012 setelah tempoh bekerjanya tamat, dan baru kembali bekerja semula semalam," kata Adzaman.
Beliau berkata selain mangsa, dua cucu perempuan dan suaminya yang uzur turut berada di dalam rumah itu ketika kejadian.
"Seorang cucu mangsa berusia 21 tahun diikat di dalam bilik lain, manakala seorang lagi cucunya adalah OKU (orang kurang upaya) dan suaminya terlantar kerana uzur, cucu yang OKU pun terlantar juga.
"Cucu mangsa yang diikat itu bagaimanapun berjaya melepaskan diri dan menghubungi bapanya yang dipercayai bertugas 'outstation' (luar kawasan)," katanya.
Beliau berkata polis turut menemui sepasang gunting di dalam rumah mangsa yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun dan bunuh itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 302 kanun sama kerana membunuh. - BERNAMA