MORIB - Seorang pemancing tidak menyangka telefon
bimbit di sebelah beg sandang berwarna merah yang dilihatnya di satu sudut
tembok rupanya milik seorang lelaki yang ditemui terdampar di Pantai Morib,
kelmarin, dipercayai mati lemas.
Dia yang enggan namanya
disiarkan berkata, pada awalnya dia turut berasa curiga apabila melihat telefon
bimbit berkenaan dalam keadaan basah, namun tidak mahu mengambilnya.
Menurutnya, ketika itu dia baru
sahaja hendak memulakan aktiviti memancingnya.
“Bagaimanapun, setelah 10 minit
memancing, saya terlihat satu objek berwarna biru terdampar di pantai sejurus
sahaja air mulai surut.
“Saya kemudiannya ke pantai untuk melihat lebih dekat dan alangkah terkejut objek itu rupanya seorang lelaki lengkap berpakaian, berseluar pendek berwarna biru dan berbaju T merah yang sudah tertiarap,” katanya.
Dia kemudiannya segera
menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Cawangan Morib untuk tindakan
lanjut.
Ketua Polis Daerah Kuala
Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, mayat berkenaan ditemui orang awam
kira-kira jam 3.29 petang dengan jarak 50 meter dari persisir pantai.
Menurutnya, siasatan di lokasi,
polis menemui kad pengenalan di dalam poket seluar panjang yang ditinggalkan
dalam beg dipercayai milik mangsa.
“Mangsa, M Muniandy, 28,
beralamat No 13, Jalam Sempurna 25/81, Taman Sri Muda, Shah Alam dipercayai
berseorangan di tempat kejadian.
“Setakat ini, kita masih belum
menerima laporan daripada keluarga waris dan diminta siapa yang mempunyai maklumat
menghubungi nombor talian 03-31872222 (Sarjan Ali),” katanya kepada Sinar
Harian, semalam.
Nordin berkata, pihaknya turut
menjumpai sebotol minuman keras dalam beg berkenaan dan tidak menolak
kemungkinan mangsa dipercayai lemas akibat mabuk.
Mayat dibawa ke Hospital
Banting untuk bedah siasat.