Selasa, 4 Jun 2013

Penyelia Syarikat Perkapalan Ditemui Mati Dalam Kereta

Gambar hiasan
JOHOR BAHARU: Seorang penyelia sebuah syarikat perkapalan ditemui mati, dipercayai dibunuh, dalam sebuah kereta di Taman Perindustrian Desa Cemerlang di sini, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Roslan Zainuddin berkata Khairul Azam Abdul Rahman, 29, ditemui orang awam pada 11 malam yang curiga dengan kehadiran sebuah kereta jenis Inokom Atos di kawasan itu. "Terdapat kesan lebam pada kepala Khairul Azam, dan bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati terdapat kesan pukulan dipercayai dengan objek keras di bahagian kepala yang menyebabkan kematian mangsa," katanya ketika dihubungi pada Selasa. Beliau berkata mangsa ditemui di bahagian tempat duduk pemandu dan polis kini menyiasat kejadian itu secara terperinci mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Rahman Abdul Karim, 56, berkata anak sulung daripada dua beradik itu keluar dari rumah mereka di Bandar Baharu Uda di sini pada kira-kira 3 pagi, dua hari lepas.
Katanya, beliau cuba menghubungi telefon bimbit Khairul Azam apabila menyedari anaknya tidak pulang ke rumah, namun panggilan itu masuk ke peti simpanan suara. "Khairul Azam sepatutnya perlu mengambil anak perempuannya yang berusia setahun di rumah keluarga isterinya di Jalan Ariffin di sini.
"Dua anggota polis kemudian tiba di rumah saya pada pukul 7 malam semalam dan meminta saya membuat pengecaman di bilik mayat HSA sebelum saya mengesahkan mayat itu adalah Khairul Azam," katanya.
Abdul Rahman juga berkata Khairul Azam, yang bertugas di Pasir Gudang, tidak mempunyai sebarang masalah dan beliau berharap pihak berkuasa menyiasat punca kematian anaknya itu dengan terperinci.
Beliau berkata jenazah Khairul Azam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff di sini pukul 10 pagi tadi. -BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...