Rabu, 25 September 2013

Anggota polis cedera dilanggar

Anggota polis cedera dilanggar
JOHOR BAHRU – Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam patah kaki kiri dan kedua belah tangan selepas dirempuh sebuah kereta.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari kelmarin itu, Lans Koperal Mohd Redzuan dirempuh sebuah kereta yang dipandu secara berbahaya.

Mohd Redzuan berkata, ketika kejadian, dia sedang melakukan rondaan di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya bersama empat anggota lain sebelum mengesan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, ketika diarah berhenti, suspek bertindak memusingkan kenderaan terbabit dalam cubaan untuk meloloskan diri dengan keluar semula dari Jalan Kampung Baru Plentong menghala ke laluan Masai Lama.

“Ketika kejadian kejar mengejar itu, saya yang datang dari arah Giant Plentong dirempuh kenderaan dinaiki suspek yang tiba-tiba keluar secara mengejut dari simpang tiga.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan akibat pelanggaran itu, saya tercampak ke bahu jalan.

"Selepas itu, saya tidak ingat apa-apa, sedar-sedar sudah berada di hospital,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff di Hospital Sultan Ismail, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ahmad dan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin.

Mohd Redzuan berkata, kejadian itu merupakan kali pertama menimpanya sepanjang enam tahun berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Mohd Mokhtar memberitahu, kedua-dua suspek berumur 30an berjaya ditahan dan kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

“Saya ingin ingatkan kepada semua pihak supaya memberikan kerjasama kepada pihak polis dan patuhi undang undang.

"Tidak perlu takut jika tidak bersalah. Jika diarah berhenti, sila ikut arahan, jangan sesekali membahayakan dan menyusahkan orang lain.

“Sudah tentu ada sebab mengapa pihak polis bertindak demikian, bukan kita suka-suka mengeluarkan arahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan diketuai timbalannya, Datuk Ismail Yatim dalam mengurangkan kadar jenayah berkaitan kes melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di negeri ini.


Katanya, polis juga akan memanggil semua pihak yang berkaitan bagi meningkatkan tahap keselamatan ATM dalam masa terdekat.

Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...