KUALA LUMPUR - Seramai 92 penjenayah telah ditembak mati sejak 2011
sehingga Ogos 2013, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Daripada jumlah itu, 56 orang adalah warganegara Malaysia dan selebihnya
dari Indonesia, Myanmar serta Nigeria.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him
secara bertulis pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Tong Him menuntut penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)
berhubung jumlah kes anggota polis menembak mati individu ketika menjalankan
penguatkuasaan dan penangkapan bagi tahun 2011 hingga 2013.
"PDRM sentiasa mengingatkan semua anggotanya agar mengambil
langkah-langkah keselamatan diri dan juga limitasi kuasa semasa menggunakan
senjata api.
"Kadangkala terdapat tindak balas daripada penjenayah yang mana
pertembungan ini membawa kepada kejadian tembak menembak atau diserang dengan
senjata yang berbahaya hingga menyebabkan polis terpaksa bertindak pertahankan
diri," katanya.
Beliau berkata, setiap kejadian tembak akan disiasat dengan rapi dan
jika berlaku kecuaian, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas.
"PDRM tidak teragak-agak ambil tindakan tegas atas mana-mana
pegawai atau anggota berkenaan termasuk mendakwa mereka di mahkamah.
"Sehingga kini, dua orang polis telah didakwa di mahkamah atas kecuaian melepaskan tembakan," katanya.
"Sehingga kini, dua orang polis telah didakwa di mahkamah atas kecuaian melepaskan tembakan," katanya.