GEORGETOWN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar
memberi jaminan polis akan menyiasat secara terperinci berhubung kes seorang
pemuda melarikan kereta peronda polis (MPV) dan ditemui maut selepas MPV itu
merempuh perhentian bas.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana
anggotanya jika didapati terbabit dalam kematian pemuda itu yang disahkan
meninggal dunia akibat tembakan di kepala.
"Setakat ini siasatan awal kita mendapati kecederaan di
kepala lelaki itu adalah ditembak olehnya sendiri. Bagaimanapun kita akan
menjalankan siasatan secara terperinci.
"Saya sendiri akan ke Kuantan, Pahang petang ini untuk
menemui anggota (polis) yang terlibat dalam kejadian untuk menyoal mereka bagi
mengetahui situasi sebenar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Khalid yang ditemui selepas merasmikan Program Pencegahan
Jenayah oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang diminta
mengulas kenyataan bapa lelaki itu yang tidak berpuas hati apabila laporan bedah
siasat bercanggah dengan kenyataan polis berhubung punca kematian
anaknya.
Abdul Nasir Abdullah, 50, dilapor akhbar hari ini sebagai
berkata laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah itu menyatakan
kematian anaknya disebabkan oleh tembakan di kepala, bukan kerana terhentak
pada stereng kereta seperti yang dinyata oleh polis.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam Khamis lepas di susur
keluar Plaza Tol Chenor Lebuhraya Pantai Timur, pemuda berusia 22 tahun itu
bertindak menyerang anggota polis dan merampas pistolnya sebelum melarikan MPV
berkenaan.
Dia yang dipercayai mengalami masalah mental turut melepaskan
empat das tembakan secara rambang dari dalam MPV sebelum kenderaan itu terbabas
dan merempuh perhentian bas di persimpangan Kampung Bukit Lada, Maran.
Mengulas lanjut, Khalid berkata polis tidak menghalang jika
keluarga lelaki itu mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan
undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia.
Mengenai anggota yang terlibat dalam kejadian itu, Khalid berkata
mereka yang berkenaan akan berdepan dengan tindakan tatatertib kerana cuai dan
menyebabkan MPV dilarikan oleh suspek. - Bernama