Sabtu, 2 November 2013

MARSYAL MENGENDALI KONVOI MELANGGAR UNDANG-UNDANG

CHUKAI - Semua pengiring atau marsyal yang mengendali konvoi kenderaan di jalan raya diingatkan tidak melakukan perkara yang boleh menghalang pergerakan lalu lintas, sekali gus melanggar undang-undang terutama di persimpangan jalan mempunyai lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, marsyal hanya pengawal konvoi, namun tidak berkuasa untuk melencongkan trafik dan melanggar lampu isyarat merah.

“Tugas pengiring konvoi adalah menguruskan peserta sahaja dan tidak mempunyai kuasa menahan pergerakan kenderaan lain semata-mata untuk memberi laluan agar pergerakan mereka lancar.

“Hanya polis diberi kuasa menahan kenderaan di jalan raya kerana polis lebih terlatih mengendalikan lalu lintas terutama ketika jalan sibuk,” katanya selepas majlis ramah mesra PDRM Kemaman bersama Yamaha Motorsports Fan Club di pekarangan Bangunan Mara Chukai, dekat sini.

Mengulas lanjut, Che Suza berkata, pengendali konvoi sama ada motosikal, kereta mahupun pacuan empat roda, boleh memohon kerjasama daripada polis untuk mengawasi pergerakan mereka di setiap persimpangan lampu isyarat di kawasan tertentu.

Menurutnya, pihak yang menghalang pergerakan lalu lintas boleh didakwa mengikut undang-undang sedia ada dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM300.

Namun katanya, setakat ini, pihaknya tidak pernah mengambil tindakan terhadap mana-mana pengiring konvoi bermotosikal yang sering menghalang kenderaan lain.

“Kita bimbang perbuatan itu boleh menyebabkan kesesakan atau kemalangan tidak diduga. Jadi, kita harap pengiring konvoi sentiasa mematuhi peraturan agar perjalanan mereka selamat dan tidak menyusahkan pengguna lain,” katanya.

Sempena program itu, kira-kira 80 ahli Yamaha Motorsports Fan Club, termasuk penuntut Ranaco Education & Training Institute (Reti) dan Kolej Universiti Tati (Tatiuc) hadir serta berdialog bersama Che Suza.

Presiden kelab, Zulmey Yaacob berkata, program itu diadakan untuk menarik minat ahli menyertai Rakan Cop dan sukarelawan polis seterusnya membantu membanteras jenayah seperti curi motosikal, rompak serta ragut.


“Ramai yang terlibat dalam jenayah ini merupakan golongan muda dan kita mahu elak perkara itu berlaku.

"Pada masa akan datang, kami merancang untuk mengadakan majlis ramah mesra polis bersama ahli kelab dan anak yatim di Binjai, selain program menembak di lapang sasar, Kijal bagi menarik minat golongan muda untuk turut serta,” katanya.

Sumber:sinarharian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...