Selasa, 12 November 2013

PENCEGAHAN JENAYAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM


Cheras, 11 Nov – “Semoga dengan sesi pembentangan dan perbincangan ini kelak akan memberi lebih banyak maklumat kepada kita tentang peri pentingnya aspek pencegahan jenayah di dalam mewujudkan keamanan dan ketenteraman masyarakat seluruhnya menurut Islam,” ujar Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar, Ketua Polis Negara dalam ucapannya sempena Seminar Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam di Dewan Sultan Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Menurutnya, betapa Islam itu amat mementingkan kesejahteraan dan keamanan kerana perkataan ‘Islam’ itu sendiri berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kesejahteraan dan lahir kerana pada dasarnya Islam diturunkan sesuai dengan fitrah dan sifat semula jadi manusia.

“Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad kita di jalan Allah SWT,” tambahnya lagi.

Program seminar pada hari ini kerana ia merupakan satu seminar jenayah yang bertemakan Islam yang julung-julung kalinya diadakan serta menjadi satu daripada kelangsungan agenda mengurangkan jenayah PDRM.

Ianya juga adalah antara usaha murni yang berterusan dalam membudayakan pencegahan jenayah sebagai amalan hidup rakyat Malaysia sekali gus menyedarkan masyarakat akan tanggungjawab mereka untuk bersama-sama dengan pihak polis dalam membanteras jenayah.

PDRM selaku organisasi penguat kuasa utama yang dipertanggungjawabkan dengan kuasa-kuasa yang ada, akan bersungguh-sungguh dengan segala daya usaha untuk mengekalkan keamanan negara ini, sekali gus menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat seluruhnya.

Turut hadir pada hari ini, Datuk Seri Mohd Bakri bin Mohd Zinin, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Wira Ayub bin Haji Yaakob, Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah (JPPJ) PDRM, Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Polis Negeri, Komander-komander, Komandan-komandan Pusat Latihan Polis, pegawai-pegawai kanan PDRM dan wakil-wakil media.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...