Gambar hiasan |
Kota Baharu, 17 Dis - Polis Kelantan melancarkan Ops Api untuk memburu dua penjenayah bersenjata api yang melepaskan satu das tembakan kepada sepasukan anggota polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok, petang ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata dalam kejadian kira-kira 2.15 petang itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, melakukan serbuan ke rumah berkenaan yang disyaki sarang penagih dadah.
"Seorang lelaki yang berada di hadapan rumah tersebut bertindak melarikan diri dan masuk ke dalam rumah itu sebelum anggota polis terdengar pintu belakang rumah tersebut dibuka.
"Mengsyaki sesuatu, pasukan polis telah pergi ke belakang rumah dan terlihat dua lelaki melarikan diri ke dalam semak belakang rumah dan salah seorang daripada suspek telah melepaskan satu das tembakan yang terkena dinding rumah itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Pemeriksaan di dalam rumah tersebut menemui tiga butir peluru hidup jenis .38 dalam laci meja manakala di luar rumah ditemuui dua motosikal, katanya. - BERNAMA