Jumaat, 28 Mac 2014

Kedai komunikasi dirompak, rugi hampir RM13,000

Gambar hiasan

KEMAMAN - Sebuah kedai telekomunikasi di Bandar Seri Bandi di sini kerugian kira-kira RM13,000 setelah dirompak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang petang semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 petang itu, dua jurujual wanita berusia 20-an didatangi dua lelaki yang berpura-pura ingin membeli kad tambah nilai.

Tidak lama kemudian, dua lelaki meluru masuk ke dalam kedai dengan seorang daripada mereka memegang sebilah parang.   Seorang daripada jurujual terbabit, Noor Nabilla Mohamad, 23, berkata beliau dan rakan sekerjanya, Rasyidah Mohamad, 18, ditolak masuk ke dalam stor oleh seorang daripada suspek.  

"Perompak itu mengikat kedua-dua belah tangan kami berdua menggunakan tali nilon yang mereka bawa manakala kaki kami pula diikat dengan kain langsir pintu stor kedai. Malah perompak itu juga mengertak untuk membunuh kami jika berbuat bising.  

"Kami menggeletar ketakutan dan hanya mampu lihat dua lagi perompak memasukkan sejumlah telefon bimbit pelbagai jenama yang dipamer dalam almari kaca serta wang hasil jualan ke dalam beg," katanya kepada pemberita ketika ditemui hari ini.

Noor Nabila berkata, rompakan itu mengambil masa tidak sampai tiga minit dan kesemua suspek yang tidak bertopeng atau memakai sarung tangan kemudian keluar dari kedai serta masuk ke dalam sebuah Proton Persona warna perak.  

Kejadian itu mengakibatkan kerugian keseluruhan kira-kira RM13,000 termasuk kehilangan wang tunai RM3,000 selain 30 telefon bimbit baharu dan terpakai pelbagai jenama serta barang kemas.   Insiden itu bagaikan malang berganda buat Noor Nabilla yang secara kebetulan menyimpan barang kemas ibunya dalam beg tangan yang diambil perompak terbabit.  

"Kebetulan mak saya keluar rumah berjumpa doktor pakar, jadi dia tanggalkan barang kemasnya dan suruh saya simpan, jadi saya simpan barang itu dalam beg tangan, selain itu tiga telefon bimbit milik saya juga ada dalam beg yang dilarikan perompak berkenaan," katanya.  

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Che Suza Che Hitam berkata, kereta yang dinaiki suspek dilihat menghala ke arah jalan keluar dari Bandar Seri Bandi.  

"Gerakan memburu kesemua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata," katanya. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...