Gambar hiasan |
Kota Kinabalu: Polis mengesahkan sudah menahan suspek utama dan merampas senjata api yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembak hingga mengorbankan seorang anggota komando serta mencederakan dua pengawal sebuah pusat hiburan di bandar Lahad Datu, kelmarin.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, suspek berusia 30-an kini ditahan reman bersama 12 anggota komando lain sehingga 4 Jun depan.
“Turut dirampas 13 laras senjata api, salah satunya dipercayai digunakan dalam kejadian tembak, semalam (kelmarin).
“Suspek yang juga anggota komando ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Hamza berkata, polis sebelum ini menahan 11 anggota komando sejurus selepas kejadian, sebelum dua lagi anggota ditahan di sekitar bandar ini.
“Tiga orang awam yang ditahan sebelum ini, sudah dibebaskan selepas percakapan mereka direkodkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 akta sama kerana cubaan membunuh,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian jam 4.45 pagi di hadapan Kedai Serbaneka 24 jam, Lans Koperal Mohd Fiffixezafey Mat Husin, 28, dari Pasir Puteh, Kelantan, maut terkena tembakan di dada kiri dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Lahad Datu.
Dua pengawal keselamatan yang cedera dikenali sebagai Hassan Madali, 38, dan Razak dimasukkan ke hospital sama, selepas mengalami kecederaan di belakang badan dan betis.