Rabu, 28 Mei 2014

KEUPAYAAN POLIS PERLU SEIRING DENGAN PEMBANGUNAN NEGARA


Batu Pahat, 27 Mei - Pembangunan ekonomi dan sosial semasa memerlukan peningkatan keupayaan polis bagi membolehkan perkhidmatan itu berhadapan dengan persekitaran yang lebih kompleks, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pasukan polis perlu diberikan prasarana yang terbaik bagi membolehkannya berada di tahap selari dengan pembangunan negara.

"Kelengkapan logistik dan prasarana yang terkini merupakan satu keperluan dalam melahirkan perkhidmatan polis berkelas dunia," katanya pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat bernilai RM61 juta di sini hari ini.

Perkhidmatan polis, katanya, tidak boleh ketinggalan kerana persekitaran dunia ketika ini begitu dinamik dalam serba serbi menyentuh pelbagai fenomena sosial dan penjenayahan.

Muhyiddin juga meminta pemimpin-pemimpin Polis Diraja Malaysia menitikberatkan aspek keilmuan dan kepakaran menerusi pengkayaan pengalaman.

Budaya kepolisan yang telah menjangkau 206 tahun, kata Muhyiddin, harus dijadikan sandaran dan diperkemas lagi dengan teknologi terkini dan penyesuaian masa.

Beliau berkata walaupun tahap keyakinan dan kepercayaan terhadap polis kini rendah, namun masyarakat mempunyai harapan yang tinggi terhadap pasukan polis untuk menangani peningkatan kes jenayah.

"Apabila Bidang Keberhasilan Utama Negara di bawah Program Transformasi Kerajaan diperkenalkan pada 28 Jan 2010, usaha merapatkan jurang (kepercayaan) telah dapat dilakukan," katanya.

Menurutnya, persepsi negatif dapat diperbaiki menerusi kejayaan polis menurunkan indeks jenayah, seterusnya meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan itu.

"Insya-Allah, secara jangka panjang kadar indeks jenayah, kadar pendakwaan, kadar penyelesaian kes serta lingkaran keyakinan dan persepsi negatif akan dapat distabilkan pada kadar yang lebih realistik," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri berkata pengorbanan polis kepada masyarakat memang tidak dapat dinafikan dengan khidmat mereka sentiasa ditagih demi kepentingan masyarakat.

Anggota polis, katanya, diharap dapat mengatasi semua permasalahan dan setiap individu polis diamanahkan dengan tanggungjawab yang besar.

"Pengorbanan polis sentiasa terpapar di akhbar-akhbar. Terkini ialah bagaimana polis menghadapi ancaman penceroboh militan di Lahad Datu hingga mereka terkorban dalam mempertahankan negara," katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa sejarah telah membuktikan perkhidmatan polis tidak pernah lekang daripada catatan kejayaan, sebagai wira, yang mempertahankan negara.

Yang turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Timbalannya Datuk Seri Bakri Zinin.  - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...