Jumaat, 2 Mei 2014

PASUKAN CANTAS KHAS WANITA KONTINJEN PAHANG DIPERKEMAS


Kuantan, 2 Mei - Pasukan Cantas Khas Wanita Kontinjen Pahang diminta menjalani latihan secara berterusan, sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi mengekalkan ketangkasan ketepatan dan fokus terhadap tugas.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata, ini kerana pasukan tersebut akan menjalankan kerja-kerja operasi bagi membanteras serta memerangi kegiatan jenayah dan diletakkan di bawah seliaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri.

"Untuk sentiasa mencapai tahap terbaik, pasukan ini harus sentiasa membuat latihan secara berterusan bagi menambah keyakinan diri kerana kalau tidak yakin, mungkin sukar apabila mereka berada di lapangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus Pasukan cantas wanita Kontinjen Pahang di Lapang Sasar SMG, Batalion 7 di Kem Bukit Galing di sini hari ini.
Sebanyak 14 anggota dari seluruh negeri termasuk tiga pegawai yang diketuai ASP Raja Maznah Raja Ghazali terpilih dan berjaya menamatkan kursus yang berlangsung sejak 21 April lepas.

Kejayaan ini menjadikan kontinjen Pahang sebagai kumpulan pertama bagi Pasukan Cantas Khas Wanita yang mula diperkenalkan sejak Oktober tahun lepas.

Sharifuddin berkata walaupun tempoh berkursus hanya dua minggu namun beliau berbangga dengan pencapaian dan berharap pasukan terbabit mempamerkan prestasi cemerlang selari dengan jenayah semasa yang dilihat semakin mencabar dan membimbangkan.

"Antara objektif lain penubuhan pasukan khas ini adalah untuk memantapkan lagi pasukan operasi cantas khas dalam memerangi jenayah serta kongsi gelap khususnya dalam kalangan pelajar sekolah yang direkrut anggota kongsi gelap," katanya.

Katanya, mereka yang terpilih daripada kalangan 50 permohonan itu dianggap bertuah dan diminta berkongsi pengalaman serta pengetahuan dengan anggota polis wanita yang lain. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...