Ahad, 11 Mei 2014

PENINGKATAN TANGKAPAN DAN RAMPASAN DADAH DI KELANTAN


PASIR MAS: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.8 juta dalam tempoh Januari hingga Mei, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata jumlah rampasan itu meningkat berbanding hanya RM800,000 bagi tempoh sama tahun lepas, mencerminkan usaha giat polis Kelantan membanteras kegiatan itu.

"Memandangkan negeri ini berada di sempadan (Malaysia-Thailand) kita dapati ada pembolosan terutamanya dari segi pengedaran dadah dari negara jiran," katanya kepada pemberita selepas melakukan Ops Cantas di sini, Sabtu malam.

Katanya dalam tempoh itu sebanyak 200,000 buah kenderaan yang keluar masuk sempadan telah diperiksa.

Beliau berkata dalam Ops Cantas melibatkan 15 pegawai dan 35 anggota itu, sebanyak 300 buah kenderaan diperiksa dan tiga individu ditahan kerana didapati positif dadah hasil ujian air kencing.

"Seorang daripada mereka didapati memiliki 15 biji pil methamphetamine," katanya.

Mazlan berkata operasi tersebut turut diadakan di beberapa daerah seperti Bachok, Kota Baharu dan Tumpat bagi mengekang jenayah curi kenderaan dan memiliki senjata api.

Katanya sejak Januari hingga Mei ini sebanyak lima pistol tiruan, enam senjata api dan 372 butir peluru dirampas di seluruh negeri dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dadah.

Beliau berkata sebanyak 808 suspek ditahan dalam Ops Cantas bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...